Wednesday 30 May 2012

Stesen minyak PCS beri kemudahan kepada nelayan Kuala Gula





BAGAN SERAI 23 Mei - Kewujudan sebuah stesen minyak Portable Container System (PCS) di Jeti Kuala Gula sejak dua bulan lalu memudahkan para nelayan di kawasan itu untuk membeli minyak petrol dan diesel bersubsidi bagi kegunaan bot mereka.
Sebelum ini, para nelayan berkenaan terpaksa pergi ke pekan Bagan Serai, Kuala Kurau dan Semanggol yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Kuala Gula untuk membeli bahan bakar itu.
Stesen minyak PCS itu dikendalikan oleh syarikat Petro Teguh (M) Sdn. Bhd. (Petro Teguh) yang terlibat dalam membekalkan petrol bersubsidi di beberapa negeri lain termasuk Selangor, Sarawak dan Johor.
Pengarah Petro Teguh, Loo Koi Hock berkata, pembinaan stesen minyak CPS itu banyak memudahkan nelayan laut dalam dan pesisiran pantai dari segi kos pengangkutan.
"Sebelum ini, ramai nelayan terutamanya pemilik bot pesisiran pantai merungut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak petrol serta diesel kerana jarak antara jeti nelayan dan kawasan perumahan dengan stesen minyak terlalu jauh.
"Mereka sebelum ini terpaksa pergi ke pekan atau bandar yang terletak jauh dari sini tetapi kini mereka boleh menarik nafas lega kerana masalah tersebut telah selesai dengan adanya stesen minyak CPS di sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Koi Hock, stesen minyak CPS adalah stesen kompak mudah alih yang mana tangki bahan bakar disimpan di dalam kontena yang dibina khas.
"Stesen kontena ini berdiri sepenuhnya di atas tanah dan tidak melibatkan kerja-kerja penggalian seperti stesen minyak biasa yang mana tangki diletakkan di dalam tanah," katanya.
Beliau berkata, stesen minyak CPS tersebut yang dikendalikan oleh seorang penyelia, Tan Eng Lian dan dibantu oleh dua orang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8.30 malam setiap hari.
"Stesen minyak CPS ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada nelayan di sini. Lebih 100 nelayan telah menjadi pelanggan tetap kami pada masa ini," katanya

Sumber: Utusan Online

0 comments:

Post a Comment